Kisah Ringkas Nabi Yunus ‘Alaihissalam
Nabi Yunus ‘Alaihissalam1) Nabi Yunus diberi gelaran Dhan-Nun yang bermaksud Peneman Ikan Nun. An-Nun bermaksud ikan besar iaitu ikan paus. Nabi Yunus telah diangkat sebagai nabi Allah dan Allah telah menghantar baginda kepada kaum Mosul di Iraq yang juga dikenali sebagai Ninawa.
2) Kaum Mosul terdiri daripada lebih 100 ribu orang. Nabi Yunus telah menyeru kepada kaum Mosul untuk menyembah Allah dan bukan selain dari-Nya. Berkali-kali nabi Yunus menyeru kepada kaumnya untuk beriman kepada Allah, namun seperti nabi-nabi sebelumnya, kaum nabi Yunus menolak ajaran Islam. Nabi Yunus memberi amaran kepada kaum Mosul untuk takut kepada hukuman Allah namun sama sahaja, mereka tetap menolak.
3) Nabi Yunus menjadi marah dan putus asa untuk berdakwah kepada kaum Mosul yang degil. Nabi Yunus membuat keputusan untuk pergi jauh dari Mosul untuk berdakwah kepada kaum lain. Baginda percaya ada lebih banyak kaum lain yang boleh dibimbing ke jalan Allah. Maka nabi Yunus memulakan perjalanannya ke tepi laut untuk menyeberangi lautan untuk pergi ke negara lain.
4) Sementara itu, semasa nabi Yunus dalam perjalanan ke tepi laut, Allah datangkan azab-Nya kepada kaum Mosul. Langit yang cerah menjadi gelap gelita dan sangat menggerunkan. Seluruh kaum Mosul seramai 100 ribu lebih orang itu semua sekali melihat ke langit dan mereka mula menangis ketakutan. Mereka tahu azab Allah sedang datang kepada mereka dan mereka teringat kisah kaum Luth, tentang bagaimana Allah telah menghukum mereka. Dan mereka teringat amaran-amaran yang seringkali disebut oleh nabi Yunus tentang hukuman Allah. Seluruh kaum Mosul pun tersedar apa yang patut mereka lakukan iaitu bertaubat kepada Allah. Mereka bertaubat seikhlas hati dan semuanya menangis, baik lelaki, wanita serta kanak-kanak. Nabi Yunus satu-satunya nabi di mana seluruh kaumnya bertaubat dan beriman kepada Allah. Maka Allah tarik balik azab-Nya kerana tiada seorang pun di antara mereka yang tidak bertaubat kepada Allah - Rujuk al Quran (10:98).
5) Nabi Yunus tidak tahu apa yang telah berlaku kepada kaumnya semasa dalam perjalanannya. Sampai di tebing laut, terdapat sebuah kapal yang sarat. Nabi Yunus lompat masuk ke dalam kapal tersebut dan kapal itu pun memulakan perjalanan - Rujuk al Quran (37:140). Tiba-tiba angin mula bertiup kencang dan ribut mula datang. Kapal sarat itu mula bergoncang dan dimasuki air. Mereka mula tenggelam sedikit demi sedikit. Orang-orang di dalam kapal cuba untuk mengurangkan muatan lebihan dengan mencampak keluar semua barangan di dalam kapal namun kapal semakin tenggelam.
6) Mereka terpaksa mengurangkan bilangan orang di dalam kapal. Untuk adil, mereka mencabut nama dan nama yang keluar mestilah terjun dari kapal. Apabila nama dicabut, nabi Yunus yang keluar. Mereka melihat rupa nabi Yunus kelihatan seperti seorang yang alim, berpengetahuan luas dan masih muda, tidak ramai orang muda seperti ini. Satu pembaziran jika dibiarkan mati. Maka mereka memutuskan untuk membatalkan cabutan tadi dan cabut lagi sekali. Kali kedua, nama nabi Yunus yang keluar. Kali ketiga, juga nama nabi Yunus yang keluar. Nabi Yunus sedar bahawa ini bukanlah kebetulan, namun ketentuan Allah - Rujuk al Quran (37:141). Maka nabi Yunus pun terjun ke dalam laut.
7) Sebaik sahaja nabi Yunus masuk ke dalam laut, Allah memerintahkan ikan nun untuk menelannya - Rujuk al Quran (37:142). Dalam proses ditelan itu, nabi Yunus pengsan. Allah berfirman, “Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih); tentu dia akan tinggal di dalam perut ikan itu sehingga hari manusia dibangkitkan dari kubur.” - Rujuk al Quran (37:143-144).
8 ) Ikan nun tersebut berenang ke dasar laut yang gelap. Nabi Yunus tersedar dari pengsan apabila terdengar bunyi-bunyian di dalam laut. Dia bertanya kepada Allah bunyi apa yang sedang didengarnya dan Allah menjawab bahawa itulah bunyi tasbih batu-batu dan ikan-ikan di dalam laut. Nabi Yunus bersujud kepada Allah dalam keadaan bertaubat dan berkata, “Aku bersujud daam kegelapan-kegelapan ini (kegelapan di dalam perut ikan, kegelapan dasar laut dan kegelapan malam). Sesungguhnya tiada Tuhan yang dapat menolong melainkan Engkau ya Allah! Maha suci Engkau, tolonglah daku! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” - Rujuk al Quran (21:87).
9) Nabi Yunus hidup di dalam perut ikan nun selama 40 hari (ada yang mengatakan sekurang-kurangnya 3 hari, wallahualam). Selama 40 hari nabi Yunus bertasbih dan berdoa kepada Allah sehingga baginda menjadi semakin lemah. Akhirnya Allah memperkenankan doanya. Ikan nun tersebut memuntahkan nabi Yunus di tepi pantai dan nabi Yunus keluar dalam keadaan sakit - Rujuk al Quran (37:145). Dikatakan badannya lembik dan kulitnya dipenuhi ruam. Kemudian Allah menumbuhkan sebuah pohon melingkar di sebelah tempat nabi Yunus terbaring - Rujuk al Quran (37:146). Nabi Yunus dapat makanan dari tumbuhan itu dan bila daunnya yang lebar menyentuh kulit nabi Yunus, ia terasa sangat lembut dan nyaman. Ia juga menjadi tempat berteduh sementara nabi Yunus menyembuhkan diri.
10) Apabila nabi Yunus telah sembuh, baginda pulang ke Mosul dan terkejut melihat seluruh kaumnya sudah beriman kepada Allah. Allah kurniakan kepada mereka kebahagiaan buat sesuatu masa - Rujuk al Quran (37:148).
0 KOmen: