Kisah Ringkas Nabi Zakaria & Yahya ‘Alaihissalam

Nabi Zakaria & Yahya ‘Alaihissalam

1) Nabi Zakaria merupakan seorang yang sangat alim dan dihormati. Baginda merupakan biras kepada Imran, seorang sheikh yanh juga sangat alim dan selalu mengimamkan solat di Baitulmaqdis. Isteri mereka merupakan adik beradik (yang juga sangat alim dan dihormati) dan kedua-dua isteri mereka mandul maka mereka tidak mempunyai zuriat sehinggalah suatu masa ketika mereka sudah tua.

2) Pada suatu hari, ketika isteri Imran yang bernama Hannah sedang beribadah, dia terlihat seekor ibu burung sedang memberi anak-anak burung makan dan apabila angin bertiup, ia mengembangkan sayapnya dan melindungi anak2nya dari ditiup angin. Hannah tiba-tiba terasa dia sangat teringin memiliki anak sendiri walaupun usianya sudah tua. Maka dia berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh untuk mengurniakan mereka seorang anak. Dan Allah memakbulkan permintaannya.

3) Hannah bernazar, anak yang di dalam kandungannya itu akan didedikasikan untuk berkhidmat di jalan Allah dan akan tinggal dan membesar di sebuah mihrab - Rujuk al Quran (3:35). Tidak lama kemudian, lahirlah seorang bayi perempuan bernama Maryam. Hannah berdoa supaya Maryam dan zuriat yang lahir dari Maryam nanti sentiasa terlindung daripada syaitan - Rujuk al Quran (3:36). Istimewanya Maryam dan Isa (anak Maryam) adalah mereka tidak pernah diganggu syaitan. Bapanya, Imran telah meninggal dunia ketika Maryam masih dalam kandungan maka dia telah lahir sebagai seorang anak yatim. Oleh itu, orang-orang alim telah berdebat tentang hak penjagaan Maryam.

4) Nabi Zakaria berkata, “Tentulah aku yang paling layak menjaganya kerana aku bapa saudaranya”. Mereka berasa tidak adil begitu. Lalu mereka mahu membuat cabutan. Masing-masing meletakkan pen mereka ke dalam sebuah bekas kemudian mereka memanggil seorang budak untuk mengambil satu pen. Pen yang diambil ialah pen nabi Zakaria maka sepatutnya nabi Zakaria lah yang menang. Mereka batalkan cabutan itu dan memulakan semula cabutan. Mereka meletakkan pen-pen tadi ke dalam air yang mengalir dan syaratnya, pen siapa yang tidak mengikut arus air adalah pemenang. Kesemua pen bergerak mengikut arus air kecuali pen nabi Zakaria. Mereka membatalkan cubaan kedua itu dan buat satu lagi cubaan tapi syaratnya ialah pen siapa yang bergerak mengikut arus, dia menang. Dengan kuasa Allah, pen nabi Zakaria sahaja yang bergerak mengikut arus dan yang lain bergerak menentang arus. Apabila telah tiga kali menang, terang-terang Allah yang menghendakinya. Maka nabi Zakaria lah yang berhak menjaga Maryam.

5) Maryam membesar di mihrab sebagai seorg anak perempuan yang sangat alim, baik, suci, dan sentiasa dikasihi Allah. Dia bagaikan sering mendapat perhatian istimewa daripda Allah. Nabi Zakaria pernah melihat pada musim sejuk Maryam membawa buah-buah segar yang hanya tumbuh pada musim panas; dan pada musim panas dia membawa buah-buah segar yang hanya tumbuh pada musim sejuk. Apabila ditanya bagaimana dia mendapatkan buah-buah itu, Maryam menjawab, “Allah yang berikan kepadaku” - Rujuk al Quran (3:37).

6) Menyaksikan kejadian itu, nabi Zakaria sedar bahawa Allah boleh menjadikan apa sahaja. Nabi Zakaria dan isterinya dari muda lagi teringinkan zuriat dan mereka tidak pernah putus harapan. Kemudian nabi Zakaria berdoa kepada Allah, “Ya Allah, tulang-tulangku sudah lemah, rambutku sudah putih, namun aku tidak pernah berhenti mengharapkan kebaikan dari-Mu. Dan sesungguhnya aku bimbang akan kaumku dan isteriku pula mandul. Maka kurniakanlah kepadaku zuriat, dari sisi-Mu, yang dapat mewarisi kenabianku dan keturunan Yaakub.” - Rujuk al Quran (19:5-6). Dan Allah memakbulkan doanya. Allah menurunkan para malaikat untuk menyampaikan berita bahawa nabi Zakaria bakal menimang cahaya mata lelaki yang Allah namakan Yahya; tidak ada lagi orang yang bernama Yahya sebelumnya - Rujuk al Quran (19:7). Anaknya itu bakal mengesahkan ayat-ayat keterangan Allah (yang akan disampaikan oleh nabi Isa), dia akan menjadi ketua orang-orang alim dan dia tidak akan berkahwin kerana dia akan menyerahkan seluruh hidupnya kepada Allah. - Rujuk al Quran (3:39). Allah telah memberitahu semua ini kepada nabi Zakaria sebelum perkara itu terjadi lagi.

7) Nabi Zakaria terkejut dan bertanya kepada Allah, “Bagaimana aku boleh mempunyai anak pada usia tua dan isteriku mandul?” Dan Allah menjawab bahawa Allah boleh menjadikan sesuatu apabila Dia menghendakinya - Rujuk al Quran (3:40). Kemudian nabi Zakaria meminta tanda-tanda bila tiba masa bahawa isterinya sudah hamil. Allah berfirman, “Tanda-tandanga ialah kau tidak mampu bercakap selama 3 hari kecuali menggunakan bahasa isyarat. Ketika itu bertasbih dan berzikirlah pada setiap pagi dan petang.” - Rujuk al Quran (3:41). Tidak lama selepas itu, tibalah hari nabi Zakaria tidak dapat bercakap selama 3 hari namun baginda teruskan berdakwah menggunakan isyarat tangan, bertasbih dan berzikir. Selepas tamat 3 hari utu, tersebarlah berita bahawa isteri nabi Zakaria iaitu Elisha sedang hamil ketika nabi Zakaria berumur 90 tahun.

8 ) Nabi Yahya pun lahir dan membesar menjadi seorang nabi yang sangat alim. Personalitinya agak berbeza daripada orang lain, hampir sempurna. Ketika baginda kanak-kanak, ketika yang lain sibuk bermain, nabi Yahya sangat tekun dan serius mempelajari kitab Taurat sehingga baginda hafal satu kitab. Baginda menghabiskan masanya di rumah ibadat dan beribadah kepada Allah. Baginda juga sangat kasih dan simpati kepada umat manusia, haiwan-haiwan dan makhluk Allah yang lain. Nabi Yahya juga amat berjasa kepada kedua ibu bapanya, baginda tidak pernah ingkar dan tidak sombong. Nabi Yahya tidak pernah berkahwin kerana dia menyerahkan seluruh hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Dan baginda sering menangis ketika mendalami ayat-ayat keterangan Allah dan ketika menyampaikan dalam khutbahnya sehingga menyentuh hati ramai orang. Oleh itu, baginda sangat disayangi pengikutnya.

9) Pada suatu hari, seseorang telah sampaikan kepada raja yang memerintah pada ketika itu bahawa orang ramai lebih menyayangi nabi Yahya berbanding raja mereka sendiri. Pada masa yang sama, raja itu sedang bercinta dengan anak saudaranya sendiri dan ingin mengahwininya. Oleh kerana rasa cemburu, raja itu mula memerhati apa yang nabi Yahya lakukan. Pada satu masa, nabi Yahya telah berkhutbah tentang larangan Allah terhadap perkahwinan dengan mahram sendiri dan hukuman ke atas mereka yang melakukannya. Raja tersebut menjadi marah kerana dia merasakan nabi Yahya biadap kerana memberi khutbah yang kena tepat pada batang hidungnya. Namun, pada ketika itu raja tersebut tidak berkahwin dengan anak saudaranya itu kerana tidak mahu rakyatnya memberontak.

10) Anak saudara raja tersebut merupakan perempuan yang jahat, dia ada muslihatnya sendiri. Dia tetap mahu berkahwin dengan bapa saudaranya jadi dia telah menggoda raja tadi di dalam majlis-majlis di istana. Dia mempunyai badan yang menggiurkan lalu dia menggoda bapa saudaranya dengan tarian, nyanyian, dan banyak lagi sehingga si raja merasakan bahawa dia perlu berkahwin dengan anak saudaranya itu. Akhirnya perempuan jahat tadi berjaya menambat hati bapa saudaranya untuk berkahwin dengannya dan meletakkan syarat perkahwinan, dia mahukan kepala nabi Yahya sebagai maharnya.

11) Maka nabi Yahya wafat dibunuh dan dipenggal kepalanya ketika sedang beribadah kepada Allah.

12) Istimewanya orang-orang dalam kisah kali ini ialah Allah telah mengangkat darjah mereka sangat tinggi sehingga Allah menamakan surah-surah di dalam al-Quran sempena nama mereka iaitu surah Maryam, sempena wanita istimewa di sisi Allah, dan surah Al-Imran, sempena ahli keluarga Imran iaitu Imran, Hannah, Maryam dan Isa.

Kisah Ringkas Nabi Muhammad SAW

Nabi Muhammad SAW

1) Baginda diputerakan di Makkah pada Isnin, 12 Rabiuawal (20 April 571M) pada Tahun Gajah (kerana berlakunya serangan tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah dr Habsyah terhadap Kota Makkah).

2) Ibu baginda bernama Aminah manakala ayah baginda bernama Abdullah.

3) Keturunan baginda berasal dari susur galur dari Nabi Ismail kira-kira dalam keturunan yang ke-40.

4) Ayah baginda meninggal dunia sebelum kelahiran baginda manakala ibu baginda meninggal dunia ketika baginda berusia enam tahun.

5) Ibu angkat atau ibu susuan baginda bernama Halimatus Sa'adiah @ Halimah binti Abu Dhuayb Abdullah. Beliau bersama suami, Al Harith berasal daripada Kabilah Arab Sa'd.

6) Tradisi Arab ketika itu adalah menghantar bayi yang baru lahir untuk disusukan di persekitaran padang pasir berbanding di Kota Mekah. Malangnya, kebanyakan ibu susuan Badwi lebih gemark akan bayi yang masih berbapa. Begitu juga Halimah, namun disebabkan gagal mendapatkan bayi lain, Halimah mengambil juga Nabi Muhammad SAW, lapan hari selepas baginda diputerakan. Beliau menyusukan baginda sehingga usia baginda 2 tahun lebih.

7) Setelah ibu baginda meninggal dunia, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Mutalib kemudian oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

8)Abu Talib seorang yang boleh dikatakan berkemampuan. Dari sini baginda belajar untuk mengembala kambing-kambing Abu Talib dan kerap menemani bapa saudaranya berniaga di Syam (Syria). Ketika ini, kerasulan Nabi Muhammad SAW telah diramal oleh pendeta Nasrani bernama Buhaira ketika rombongan perniagaan singgah di Basrah. Buhaira meminta Abu Talib membawa baginda pulang kerana khuatir akan dibunuh oleh kaum Yahudi.

9) Nabi Muhammad SAW sejak kecil tidak pernah terlibat dalam kehidupan sosial Arab Jahiliyyah. Ibaratnya, baginda tidak terlibat dengan pergaulan bebas dan sebarang perkara yang tidak berfaedah. Namun bukanlah bermakna tidak mempunyai kawan langsung. Jika tiba waktu riadah, baginda masih lagi beriadah bersama rakan-rakan yang lain.

10) Sewaktu remaja, baginda percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah SWT. Baginda sangat merendah diri dan menyayangi orang miskin.

11) Pada usia 25 tahun, baginda berkhidmat bersama Khadijah dalam menjalankan perniagaan atas nasihat pakciknya, Abu Talib. Sifat amanah yang dimiliki oleh baginda terutama ketika Khadijah menyerahkan wang modal perniagaan yang besar kepada baginda dan diuruskan dengan sempurna. Ini menyebabkan Khadijah tertarik dengan baginda dan melamar baginda untuk dijadikan suami.

12) Setelah berkahwin, baginda dikurniakan 6 orang anak (2 lelaki, 4 perempuan). Anak-anak lelaki baginda Qasim dan Abdullah telah meninggal dunia semasa kecil. Manakala anak perempuan baginda Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum & Fatimah AzZahra. Saidatina Khadijah adalah satu-satunya isteri baginda sehinggalah saidatina Khadijah meninggal dunia pada umur 64 tahun.

13) Baginda turut digelar Al Amin. Pada usia 35 tahun, kewibawaan baginda terserlah apabila baginda berjaya menyelesaikan masalah perletakan semula Hajar al-Aswad ke tempat asalnya di penjuru Timur Kaabah yang jatuh ketika banjir.

14) Baginda sedih dengan perkembangan Arab Jahiliyah. Semakin teruk dan menyedihkan sehingga baginda kerap kali ke Gua Hira yang kemudian dikenali sebagai Jabal an Nur untuk memikirkan cara bagi mengatasi gejala yang dihadapi masyarakatnya.



Kisah Ringkas Nabi Musa & Harun ‘Alaihissalam (Bahagian 1)

Nabi Musa & Harun ‘Alaihissalam (Bahagian 1)

1) Nabi Musa digelar Kalimullah yang bermaksud ‘orang yang bercakap dengan Allah’ kerana nabi Musa seorang nabi yang sangat istimewa yang sering bercakap dengan Allah. Warna kulit nabi Musa tidak cerah, agak gelap. Mempunyai rambut yang tebal dan badannya sasa dan baginda sangat kuat sehingga digambarkan tumbukan baginda boleh menyebabkan seseorang itu mati walau dengan hanya sekali tumbukan. Bukan itu saja, pertutura. nabi Musa tidak berapa jelas kerana baginda gagap. Nabi Musa lahir dari kalangan Bani Israel.

2) Siapakah Bani Israel? Bani Israel berasal daripada keturunan 12 orang anak nabi Yaakub (salah seorangnya nabi Yusuf) yang tinggal di Palestin, betul-betul di sebelah Mesir. Nabi Yaakub sebenarnya mempunyai dua nama, Yaakub dan Israel. Oleh itu, mereka mengambil nama Israel itu untuk dijadikan nama kelompok atau etnik mereka. Jika dilihat dalam kisah nabi Yusuf ada menceritakan bahawa nabi Yusuf telah mengajak keluarganya untuk tinggal di Mesir. Maka Bani Israel ini bukan sahaja tinggal di Palestin namun di Mesir juga. Beberapa generasi selepas itu, lahirlah nabi Musa. Namun ketika nabi Musa lahir, Bani Israel tidak ramai sekadar 600,000 orang sahaja jika dibandingkan dengan rakyat Mesir yang berjuta-juta orang ramainya.

3) Pada satu zaman itu, Mesir diperintah oleh seorang firaun yang kaya, kejam dan menganggap dirinya tuhan. Rakyat Mesir dipaksa menyembahnya. Satu hari, firaun telah bermimpi api marak telah datang dari Baitul Maqdis di Palestin menuju ke Mesir dan membakar semua rumah di Mesir kecuali rumah orang-orang Bani Israel. Firaun jadi tidak keruan dan memanggil semua ahli tilik dan penasihatnya untuk mentafsir mimpinya. Ahli tilik mentafsirkan bahawa akan lahir seorang bayi lelaki berketurunan Bani Israel dan suatu hari nanti firaun akan mati di tangan bayi lelaki itu. Firaun terus membuat undang-undnag baru iaitu setiap kali Bani Israel melahirkan bayi lelaki, bayi itu mesti dibunuh. Maka firaun menghantar askarnya untuk menggeledah rumah Bani Israel dan membunuh semua kanak-kanak lelaki. Askarnya akan membuat ‘pembersihan’ itu setiap 2 tahun.

4) Ibu nabi Musa pada masa itu sedang hamil. Sepanjang 9 bulan, dia mengelak daripada berjumpa dengan orang dan hanya duduk di rumah, bimbang jika diketahui orang bahawa dia sedang mengandung. Apabila lahirnya nabi Musa, dia sangat sedih dan risaukan nyawa anaknya. Allah telah mengilhamkan kepada ibu nabi Musa untuk menyusukan bayinya sehingga kenyang dan hanyutkan bayi itu di sungai. Allah telah berjanji kepada ibu nabi Musa akan bertemu kembali dengan bayinya. Maka si ibu memasukkan bayinya ke dalam sebuah kotak dan menghanyutkan kotak itu di sungai. Ibunya menyuruh kakak kepada nabi Musa untuk melihat ke mana kotak itu pergi kerana bimbang kotak itu hanyut ke arah orang yang akan membunuhnya. Kakak nabi Musa pun berlari-lari mengikut kotak tersebut sehingga setakat mana yang boleh dilihat.

5) Takdir Allah, kotak itu hanyut ke istana firaun dan ditakdirkan juga yang menjumpai bayi itu adalah isteri firaun. Apabila melihat muka bayi itu, timbulnya rasa sayang dan disebabkan mereka tidak mempunyai anak sendiri, isteri firaun memutuskan untuk membelanya seperti anak sendiri. Firaun semestinya tidak membenarkan kerana dia telah mengarahkan askarnya untuk membunuh semua bayi lelaki Bani Israel tetapi di istananya sendiri ada bayi lelaki Bani Israel. Lihat warna kulit bayi itu sahaja telah menunjukkan ia daripada Bani Israel. Isteri firaun berdegil dan mengatakan bahawa bayi itu membuatkan dia gembira dan tidak mungkin bayi ini boleh berbuat apa-apa pada firaun. Firaun amat cintakan isterinya dan melihat isterinya begitu bahagia, dia pun terpaksa membiarkan bayi itu membesar di istananya, tanpa menyedari bahawa satu hari nanti bayi itulah yang akan menjadi musuhnya.

6) Firaun mengupah ramai ibu susuan di Mesir untuk menyusukan Musa namun Musa menolak kesemuanya. Allah telah menghalang Musa dari menyusu dari perempuan-perempuan itu. Semakin lama bayi itu semakin lemah dan firaun telah menghantar orang-orangnta untuk mencari lagi perempuan yang boleh menjadi ibu susuan. Berita telah sampai kepada keluarga nabi Musa dan ibunya telah dibawa ke istana. Nabi Musa pun meminum susu ibunya. Firaun berasa pelik dan bertanya, “Kenapa dia minum dari kamu? Siapa kamu?” dan ibu Musa berkata, “Susu aku manis, tidak ada bayi yang pernah menolak susu badanku.” Di sini Allah telah menunaikan janjinya untuk mempertemukan semula nabi Musa dengan ibunya namun tidak ada sesiapa pun yang tahu. Malah Allah melindungi ibu nabi Musa kerana setiap kali dia keluar masuk istana, sentiasa ada yang mengiringinya.

7) Nabi Musa membesar dengan sempurna di dalam istana dan di saat orang ramai menyembah firaun walaupun mereka tidak pernah berjumpa dengannya, nabi Musa mengetahui bahawa l firaun itu hanya manusia biasa dan tidak layak disembah. Dalam hati baginda sentiasa tahu bahawa Allah satu-satunya tuhan yang layak disembah. Pada suatu petang, nabi Musa sedang berjalan di kota Mesir dan terserempak dengan dua orang lelaki yang sedang bergaduh. Seorang daripada Bani Israel dan seorang lagi orang Mesir. Nabi Musa cuba untuk meleraikan pergaduhan itu namun secara tidak sengaja baginda telah menumbuk lelaki Mesir itu dan lelaki tersebut terus mati secara langsung. Nabi Musa berkata, “Ini kerja syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang menyesatkan” - Rujuk al Quran (28:15). Dalam pada itu, nabi Musa melarikan diri kerana bimbang ditangkap oleh pihak berkuasa. Sudahlah selama 18 tahun orang Mesir berdendam dengannya kerana baginda satu-satunya Bani Israel yang tinggal di dalam istana. Terutamanya firaun yang hanya menunggu untuk menghalaunya dari istana. Apabila nabi Musa melakukan satu sahaja kesilapan, itulah peluang mereka untuk membalas dendam kepadanya.

8 ) Keesokan harinya, sedang nabi Musa melarikan diri, baginda terserempak lagi dengan lelaki Bani Israel tersebut sedang bergaduh dengan lelaki lain pula. Nabi Musa tidak berpuas hati kerana lelaki itu selalu mencetuskan pergaduhan dan disebabkan lelaki itu juga baginda telah terbunuh seseorang tanpa sengaja. Nabi Musa menarik baju lelaki itu dan hampir menumbuknya kemudian lelaki itu pun berkata, “Tunggu dulu! Kau nak bunuh aku seperti kau bunuh lelaki semalam?!” Disebabkan itu, orang ramai telah mengetahui bahawa nabi Musa telah membunuh seseorang. Nabi Musa pun melepaskan lelaki tadi. Tiba-tiba datang seorang pegawai istana yang rapat dengan nabi Musa dan memberitahu bahawa orang Mesir telah mula mencari baginda dan dia menasihatkan nabi Musa untuk melarikan diri. Nabi Musa menjadi takut dan berdoa kepada Allah untuk melindunginya - Rujuk al Quran (28:21).

9) Nabi Musa terus melarikan diri ke Madyan, kota nabi Shuaib. Baginda berjalan beratus-ratus kilometer tanpa henti sehingga koyak kasutnya. Baginda tidak mempunyai makanan, sekadar memakan daun-daun sehingga bibirnya menjadi hijau. Baginda sampai di Madyan dengan tidak berkasut, kelaparan dan kepenatan. Kemudian baginda terjumpa telaga air di mana orang-orang lelaki Madyan berkumpul untuk mengambil air bagi kambing biri-biri mereka. Jauh di belakang, baginda ternampak dua orang gadis. Nabi Musa pergi kepada mereka dan bertanya, “Mengapa dengan kamu berdua?” Mereka berkata mereka sedang menunggu giliran untuk mengambil air bagi ternakan mereka. Mereka tidak dapat meminta bantuan orang lelaki dalam keluarga mereka kerana bapa mereka sudah tua - Rujuk al Quran (28:23). Apabila melihat pada keadaan, barangkali mereka tidak akan dapat air tersebut kerana mereka hanyalah dua gadis, susah untuk berebut dengan lelaki. Oleh itu nabi Musa membantu mereka mengambil air.

10) Salah seorang gadis tadi berjalan malu dan berkata bapa mereka ingin membalas budinya. Nabi Musa menjaga pandangan daripada melihat gadis tersebut dan meminta mereka untuk mengikutnya di belakang dan menunjukkan jalan. Sejak mula nabi Musa memulakan perjalanannya dari Mesir, baginda terus-terusan berdoa kepada Allah untuk mengampunkan dosanya dan meminta Allah permudahkan segalanya. Dan satu persatu Allah bantu dan berjumoa dengan dua orang gadis adalah salah satu daripada bantuan Allah. Nabi Musa ceritakan kepada bapa gadis tadi iaitu nabi Shuaib tentang apa yang telah berlaku dalam hidupnya dan nabi Shuaib pun berkata, “Jangan kamu risau, sekarang kamu sudah selamat dari kaum yang zalim itu.” - Rujuk al Quran (28:25). Gadis-gadis tadi mencadangkan kepada nabi Shuaib untuk mengambil nabi Musa bekerja kerana mereka perlukan tenaga kerja yang gagah perkasa dan amanah - Rujuk al Quran (28:26). Nabi Shuaib melamar nabi Musa untuk berkahwin dengan salah seorang anak perempuannya, dengan syarat baginda perlu bekerja mengembala kambing ternakan keluarga itu sekurang-kurangnya 8 tahun sebagai mas kahwin - Rujuk al Quran (28:27).

11) Setelah selesai perjanjian 8 tahun itu, nabi Musa pun berkahwin dengan salah seorang gadis tadi dan membawa isterinya pulang ke Mesir. Pada satu malam, semasa dalam perjalanan, nabi Musa terlihat ada api yang sangat terang di atas gunung Tursina. Baginda sangat tertarik untuk pergi melihatnya. Hanya nabi Musa sahaja yang dapat melihat. Cahaya api itu seolah-olah panggilan khas untuk nabi Musa. Baginda meminta keluarganya untuk tunggu di bawah sementara baginda berlari panjat ke atas gunung malah baginda berkata bahawa baginda akan membawa turun sedikit api itu untuk keluarganya. Nabi Musa pun panjat dan panjat dan panjat sampai ke atas - Rujuk al Quran (28:29).

12) Tiba-tiba terdengar satu suara, “Wahai Musa, sesungguhnya Aku Allah Tuhan sekalian alam.” - Rujuk al Quran (28:30). Jika dikaji lenggok bahasa ayat Quran ini, kita boleh rasakan perasaan nabi Musa pada ketika itu. Baginda sangat terkejut, takut, gementar. Tuhan yang sentiasa di minta bantuan dalam doa sepanjang hidupnya telah bercakap secara langsung dengannya! Kemudian Allah bertanya, “Apa di tanganmu?” Jika diikutkan, Allah itu Maha Mengetahui. Allah tahu apa yang nabi Musa sedang pegang. Tujuan Allah bertanya adalah untuk menenangkan nabi Musa yang sedang dalam keadaan terkejut. Nabi Musa menjawab, “Ini tongkatku. Kadang aku bersandar kepadanya. Aku gunakan ia untuk memukul lalang. Dan ada banyak lagi perkara yang aku buat dengan tongkat ini”. Nabi Musa menjawab panjang kerana baginda teruja. Bukan selalu dapat bercakap dengan penciptanya dan baginda menjawab panjang dengan harapan dapat berbual dengan lebih lama. Kemudian Allah mengarahkan, “Campakkan tongkatmu”. Tanpa berlengah, nabi Musa terus mencampak tongkat itu dan secara tiba-tiba tongkat itu terus bertukar menjadi ular yang sangat besar dan bergerak laju. Nabi Musa yang baru sahaja bertenang tadi terus ketakutan! Kemudian Allah berkata lagi, “Ambil ular itu dan jangan takut.” - Rujuk al Quran (28:31). Maka nabi Musa terus memegang ular itu dan ia kembali menjadi tongkat. Mengapa Allah melakukan semua ini kepada nabi Musa? Kerana Allah ingin baginda menjadi berani dan sentiasa percayakan bantuan Allah. Kemudian Allah memerintahkan nabi Musa untuk berdepan dengan firaun yang zalim untuk bertaqwa kepada Allah. Kemudian nabi Musa meminta kepada Allah kalau baginda boleh membawa saudaranya Harun untuk bertutur bagi pihaknya (nabi Harun kekuatannya adalah pandai bercakap). Allah berkata, “Pergilah kamu berdua bersama ayat-ayat keterangan Kami, kamu berdua serta pengikutmu akan beroleh kemenangan.” - Rujuk al Quran (28:35). Allah mengizinkan nabi Musa untuk membawa nabi Harun bersama. Allah memberi kepastian bahawa mereka akan menang.

13) Nabi Musa dan nabi Harun memasuki Mesir dan terus dibawa mengadap firaun. Setelah sekian lama, akhirnya dapat juga firaun menangkap dan bercakap dengan nabi Musa. Nabi Musa dan nabi Harun perdengarkan ayat-ayat keterangan Allah kepada firaun dan berdakwah kepadanya untuk beriman kepada Allah. Firaun menolak dan berkata tiada tuhan lain yang lebih agung dari dirinya. Firaun berkata kepada menterinya, Haman untuk membina bangunan batu bata yang tinggi supaya dia dapat melihat tuhan Musa - Rujuk al Quran (28:38). Itulah asalnya pembinaan piramid di Mesir. Firaun mencabar nabi Musa untuk menunjukkan kekuasaan Tuhannya. Nabi Musa mencampakkan tongkatnya dan ia bertukar menjadi ular yang sangat besar dan panjang sehinggakan lidahnya boleh mencecah siling istana. Orang ramai berteriak ketakutan. Firaun pun berkata, “Sihir! Ini hanyalah sihir!” Kemudian firaun memanggil semua ahli sihir di Mesir untuk menyaingi Musa. Persaingan itu ditetapkan pada hari perayaan Mesir di tengah kota, di mana orang ramai akan berkumpul untuk menyaksikan acara tersebut.

14) Pada hari persaingan antara ahli sihir itu, ada 70 ahli sihir yang datang. Secara serentak, mereka mencampakkan tongkat mereka dan tongkat itu bertukar menjadi ular kecil. Seluruh kota menjerit ketakutan. Bagi mereka itu sudah cukup hebat. Kemudian nabi Musa mencampakkan tongkatnya yang bertukar menjadi ular yang paling besar di situ dan ia memakan semua ular kecil yang ada. Semua yang melihat terkejut dan menjadi takut. Firaun turut menyaksikan kejadian itu. Semua ahli sihir menjadi takut dan berkata, “Itu bukanlah sihir! Itu sesuatu yang lain. Kuasa yang lebih agung. Kami akan mengikut ajaran Musa dan beriman dengan Tuhannya!” Kemudian ramai orang Mesir juga turut beriman kepada Allah. Firaun tidak berpuas hati dan berkata bahawa semua ahli sihir menipu dan mereka dari awal lagi sudah berkonspirasi dengan nabi Musa untuk menipunya.

Akan bersambung..

Kisah Ringkas Nabi Musa & Harun ‘Alaihissalam (Bahagian 2)

Nabi Musa & Harun ‘Alaihissalam (Bahagian 2)

..Sambungan

15) Firaun berkata, “Berani kamu beriman kepada Allah sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya nabi Musa itu ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; maka tahulah kamu akibatnya nanti. Aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semua!” - Rujuk al Quran (26:49). Ahli-ahli sihir dan rakyat Mesir yang baru sahaja dapat hidayah Allah itu pun membalas, “Kami tidak takut dengan ugutanmu! Kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami.” - Rujuk al Quran (26:50). Kemudian kesemua mereka yang sudah beriman dengan Allah ditangkap, dipotong kaki, dipalang dan dibunuh. Selepas kejadian itu, untuk mengelakkan nabi Musa dan pengikutnya untuk terus menggoyahkan takhta firaun, tentera firaun dikerah untuk membunuh setiap anak lelaki dari Bani Israel dan membiarkan wanita mereka hidup. Dan firaun meminta nabi Musa juga dibunuh kerana takut akan lebih ramai orang yang menjadi pengikutnya.

16) Kemudian datang seorang ahli keluarga firaun yang dalam diam telah beriman kepada Allah. Dia cuba menasihatkan firaun dan untuk tidak membunuh nabi Musa. Dia berkata, “Kau bersusah mahu menbunuh seorang lelaki hanya kerana dia berkata Allah itu tuhannya? Biarkan dia hidup. Jika dia menipu, penipuannya akan memakan dirinya sendiri. Tapi jika dia berkata benar dan kau pula membunuhnya, habislah kau nanti.” Maka firaun dan penasihatnya memutuskan untuk tidak membunuh nabi Musa.

17) Pada waktu ini, Bani Israel sudah semakin hilang semangat. Mereka tertekan kerana semakin ramai orang mereka dibunuh. Nabi Musa berkata, "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa" - Rujuk al Quran (7:128). Kemudian mereka berkata kepada nabi Musa, “Apa bezanya? Sebelum kau datang kepada kami, firaun menyeksa kami dengan membunuh bayi kami kerana tidak mahu kau lahir ke dunia. Dan selepas kau datang kepada kami, firaun masih menyeksa kami dengan membunuh anak-anak lelaki kami, juga disebabkan kau.” Nabi Musa pun menenangkan mereka dengan berkata, “Allah akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi. Tengoklah nanti.” - Rujuk al Quran (7:129).

18) Kemudian Allah menurunkan satu persatu hukuman ke atas firaun dan pengikutnya. Pertama, Allah menurunkan kemarau yang amat dahsyat. Ladang tanaman rakyat Mesir tidak berbuah tetapi ladang Bani Israel berbuah seperti biasa. Kemudian orang Mesir berjumpa dengan nabi Musa dan berkata, “wahai ahli sihir, minta dari tuhanmu untuk hilangkan kemarau ini. Jika hilang kemarau ini, kami akan beriman dengan tuhanmu.” Maka nabi Musa pun berdoa kepada Allah untuk menghilangkan kemarau di Mesir. Setelah cuaca Mesir kembali normal, orang Mesir tidak beriman pun kepada Allah, malah ketawakan nabi Musa sambil berkata, siapa suruh percaya kami? Kemudian Allah menurunkan pula bencana banjir. Habis musnah semua rumah rakyat Mesir dilanda banjir namun rumah Bani Israel tidak terkesan langsung. Orang Mesir memanggil nabi Musa lagi, “Minta pada tuhan kau untuk menghilangkan banjir ini, kali ini kami tidak akan mungkir janji untuk beriman kepadanya.” Maka nabi Musa pun berdoa kepada Allah. Setelah banjir surut, orang Mesir enggan juga beriman kepada Allah dan tertawakan nabi Musa sekali lagi. Kemudian Allah menurunkan berjuta belalang perosak sehinggakan waktu siang menjadi gelap kerana terlalu banyak belalang berterbangan menutupi langit. Sekali lagi mereka meminta nabi Musa menghilangkan bencana itu dan tetap tidak beriman kepada Allah. Kemudian Allah menurunkan malapetaka kutu. Berjuta kutu menyerang orang Mesir dan membawa penyakit kutu. Sekali lagi mereka meminta nabi Musa untuk menghilangkan malapetaka itu dan setelah hilang, mereka tetap tidak beriman kepada Allah. Kemudian Allah datangkan pula malapetaka katak. Katak di dalam rumah, luar rumah, dalam makanan, bantal, baju, penyakit katak, hujan katak, segalanya katak. Begitu juga, mereka meminta tolong nabi Musa dan setelah malapetaka itu hilang, enggan beriman kepada Allah. Dan akhirnya, Allah menurunkan malapetaka darah. Setiap kali orang Mesir mahu menyentuh air, air itu bertukar menjadi darah. Apabila mereka mahu minum, terminum darah. Mahu mandi, mandi darah. Sehingga kehidupan harian mereka bergelumang dengan darah. Sepanjang hukuman Allah ini, Bani Israel tidak terkena satu pun. Merek hidup seperti biasa ditengah rakyat mesir yang sedang hidup huru hara. Kemudian sama seperti ini, mereka meminta tolong daripada nabi Musa dan setelah malapetaka itu hilang, mereka mungkir janji untuk beriman kepada Allah.

19) Raja-raja Mesir zaman dahulu mereka sentiasa berhias dengan segala jenis barang kemas - emas, intan, berlian, batu permata - diatas kepala mereka tidak sah jika tidak bertakhtakan emas. Dan mereka mengikat hamba-hamba abdi dan mengerah mereka membina piramid dan segala benda yang ada di Mesir. Firaun yang bongkak berkata kepada pengikutnya. “Mengapa Musa tidak ada satu pun emas di badannya? Dan mengapa dia tidak mengikat para malaikat dengan tali untuk menyembahnya? Lihatlah aku! Aku mengikat hamba-hambaku dan mereka semua menyembahku, melakukan segala yang aku perintahkan!”

20) Nabi Musa kesal dengan betapa bongkaknya firaun. Dan baginda berdoa kepada Allah, sambil nabi Harun mengaminkan doanya, "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.” - Rujuk al Quran (10:88). Kemudian Allah berfirman, “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua” - Rujuk al Quran (10:89).

21) Kemudian Allah mengilhamkan kepada nabi Musa untuk membawa Bani Israel keluar dari Mesir pada waktu malam ke tepi lautan. Maka nabi Musa dengan secara senyap mengumpulkan Bani Israel pada waktu malam untuk lari dari Mesir. Mereka bertanya, “Kita mahu ke mana?”, nabi Musa berkata, “Ikut sahaja. Cepat!”. Berita ini sampai ke telinga firaun dan dia menjadi marah. Firaun berkata, “Tidak mengapa, pagi nanti saja kita kejar mereka.” Kenderaan firaun dan tenteranya jauh lebih laju jadi pagi itu sekejap sahaja mereka dapat mengejar Bani Israel di tepi laut.

22) Firaun datang dengan lebih 1.5 juta askarnya untuk mengejar Bani Israel seramai 600,000 orang. Apabila firaun dan tenteranya semakin menghampiri, ada di kalangan Bani Israel berkata, “Habislah kita!” Mereka sudah mula risau. Nabi Musa tercari-cari dari arah timur dan barat pantai, di mana mereka boleh lalu untuk menyeberangi laut. Kemudian Allah mengilhamkan kepada nabi Musa untuk mengetuk laut menggunakan tongkatnya. Apabila diketuk air laut itu, dengan kuasa Allah maka terbelah laut itu menjadi dua, membentuk laluan untuk nabi Musa dan kaumnya berlari ke seberang laut.

23) Firaun dan tenteranya menjadi takut. Apabila nelihat dua bahagian laut yang terbelah itu tinggi menggunung. Bani Israel pula sudah jauh berlari, ada di antara mereka yang telah sampai di seberang laut. Firaun pun berkata, “Apa tunggu lagi? Kejar!” Dan mereka pun meluru masuk ke dalam belahan laut itu. Firaun sangat bongkak, dia yakin bahawa dia boleh sampai ke seberang laut. Nabi Musa telah sampai di seberang, lalu baginda mengetuk semula air laut itu maka tertutup laluan tadi membanjiri askar-askar firaun. Mereka menjerit terlolong dan akhirnya semua sekali tenggelam ke dasar laut.

24) Di saat akhir nyawa firaun ketika dia sedang lemas, firaun berkata dalam hatinya, “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai Bani Israel, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri” - Rujuk al Quran (10:90). Namun pintu taubat telah pun tertutup untuk firaun dan Allah tidak menerima taubatnya.

25) Kemudian bumi bagaikan tidak menerima mayat firaun. Dalam berjuta orang yang tenggelam di dalam laut, mayat firaun seorang sahaja yang terapung. Allah berfirman, "Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!" - Rujuk al Quran (10:92). Mayat firaun diawet dan disimpan di keranda dalam piramid di Mesir, dan ia kekal sehingga sekarang untuk tontonan kaum manusia sebagai pengajaran tentang kekuasaan Allah.

Punca Letupan Beirut disebabkan Ammonium Nitrate

Sayu hati kami bila mendengar berita tentang letupan di Beirut, Lubnan yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 78 mangsa dan mencederakan ribuan yang lain.



PM Hassan Diab menyatakan ia berpunca daripada 2,700 Tan ammonium nitrate yang disimpan berdekatan dengan pelabuhan bandar tersebut. Video menunjukkan terdapat api yang marak disusuli dengan letupan seperti bom atom yang membentuk awan mushroom.

Apa itu ammonium nitrat?

Ammonium nitrat atau formulanya NH₄NO₃, dihasilkan dalam bentuk butir adalah baja paling banyak digunakan dunia.

Ianya juga bahan utama di dalam proses letupan untuk menggali mineral yang mana bahan ini dicampur dengan minyak dan dihidupkan dengan cas letupan.

Untuk industri ammonium nitrat menjadi satu letupan yang bahaya, ianya perlu melalui proses yang panjang dan banyak masalah perlu berlaku. Dan ini berlaku di Beirut.

Apa punca letupan itu?

Ammonium nitrat tidak akan terbakar dengan sendiri. Malah, ianya lebih adalah sumber oksigen yang akan mempercepatkan proses pembakaran bahan lain. Sebab itu, ianya sangat berfungsi di dalam perlombongan di mana kawasan yang kurang oksigen, dengan adanya Ammonium nitrate akan menghasilkan oksigen untuk proses pembakaran minyak dan bahan bakar lain.

Namun di suhu yang sangat tinggi, ammonium nitrat akan terurai dan menjadi nitrogen oksida dan wap air. Dan Gas inilah yang akan menyebabkan letupan.

Jadi kalau ada api marak berdekatan dengan bahan ini, ianya boleh menyebabkan letupan seperti yang juga berlaku di Tianjin China pada tahun 2015 yang telah mengorbankan 175 orang di sebuah kilang Ammonium nitrat.

Walaupun kita tidak tahu punca sebenar di Beirut, tetapi kita dapat lihat melalui video, letupan itu berlaku setelah beberapa ketika kebakaran berlaku.

Memang sukar sebenarnya Ammonium nitrat meletup disebabkan kebakaran. Kebakaran perlu berlaku dan kekal lama di tempat Ammonium nitrat disimpan.

Malah ianya tidak akan meletup dengan sendiri tanpa minyak melainkan ianya telah ada pencemaran silang akibat daripada penyimpanan stok yang tidak betul.

Ini dapat dibuktikan dengan amaran yang telah diberikan kepada pengilang 2700 Tan yang telah disimpan selama 6 tahun tanpa keselamatan yang baik.

Kesan kepada kesihatan?

Letupan ammonium nitrat akan menghasilkan nitrogen dioksida, gas berwarna merah dan baunya sangat busuk.

Gas ini selalunya berada di persekitaran yang tercemar dan selalu digunakan sebagai aras kualiti udara sesuatu kawasan/bandar.

Ianya dikhuatiri boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti masalah paru-paru. Keadaan ini mungkin akan ada di sana selama beberapa hari.

Keadaan di Beirut mengajar kita untuk menyimpan baja dalam keadaan yang betul. Mari kita doakan semoga Beirut kembali pulih daripada musibah yang telah melanda.

Sumber : public health Malaysia

Kisah Ringkas Nabi Isa ‘Alaihissalam



Nabi Isa ‘Alaihissalam

1) Di dalam Al-Quran, baginda digelar Isa ibni Maryam. Jesus Christ atau Jesus dari Nazareth adalah nama umum bagi orang Kristian.

2) Keturunan Nabi Isa bermula dari kelahiran Maryam iaitu anak perempuan Imran (boleh rujuk Kisah Nabi Zakaria & Yahya sebelum ini). (Surah Ali Imran: 45)

3) Di dalam Al Quran dan juga Injil, ada menyatakan bahawa Jibril menemui Maryam dan memberitahu bahawa Maryam akan melahirkan seorang bayi yang istimewa walaupun Maryam masih dara.

4) Nabi Isa dilahirkan dibawah pokok Kurma di daerah berhampiran Baitulmaqdis, Palestin.

5) Semasa kecil Nabi Isa memiliki mukjizat iaitu mampu bercakap. Nabi Isa ketika itu berpidato dengan mereka yang mengutuk ibu baginda.

6) Selain itu, Nabi Isa memiliki mukjizat setelah dewasa iaitu mampu menyembuhkan orang buta dan lumpuh.

7) Nabi Isa mempunyai 12 orang sahabat. Al-Quran menggelarkan Al-Hawariyun manakala Kirstian mengelarkan 12 diciples / appostle.

8) Mereka adalah;

1. Peter @ Petrus
2. James @ Yakobus
3. John @ Yohannes
4. Andrew @ Andreas
5. Philip
6. Barthomew
7. Matthew
8. Thomas
9. James
10. Thaddeus
11. Simon
12. Judas Iscariot

Nama tersebut masih samar, tiada fakta yang sahih. Injil sendiri masih berbalah mengenai individu Al Hawariyun. Al Quran ada menerangkan mengenai Al Hawariyun ini dalam Surah Al-Maaidah: 111-115

9) Apabila terlihat akan mukjizat Nabi Isa ini, ramai para pendeta pada zaman itu rasa terancam dan mula menabur fitnah ke atas Nabi Isa.

10) Fitnah dari pendeta itu sampai ke Maharaja Rome. Maharaja Rome menawarkan sejumlah harta yang banyak sehingga tertangkapnya Nabi Isa.

11) Ketika itu, Nabi Isa berdakwah secara rahsia dan para sahabat Al Hawariyun banyak membantu.

12) Oleh kerana tamak dan iri hati, salah seorang sahabat Nabi Isa, Judas Iscariot berpaling tadah.

13) Judas memberitahu tempat persembunyian Nabi Isa. Ketika dikejar oleh tentera Rome, Nabi Isa bersembunyi di Gua.

14) Ketika persembunyian di Gua tersebut, maka Allah telah mengangkat Nabi Isa ke langit. Hal ini berdasarkan kepada peristiwa Nabi Isa & Al-Hawariyun menjamah makanan terakhir (The Last Supper). Pada waktu itu, Nabi Isa ada menyebut bahawa salah seorang dari Al-Hawariyun akan mengkhianatinya.

15) Judas yang ketika itu bersiar di bandar, tiba-tiba Allah telah menukarkan rupa Judas kepada rupa Nabi Isa.

16) Para tentera Rome segera menangkap Judas dan dibawa untuk perbicaraan.

17) Hukuman yang diterima adalah disalib hidup-hidup kemudian diberi mahkota kawad berduri di kepala.

18) Nabi Isa ketika ini masih hidup, hanya Allah sahaja yang tahu dimana Nabi Isa ditempatkan. Keterangan hadis Nabi Muhammad ada meriwayatkan kisah ini. Ia turut diceritakan dalam The Second Coming (versi Kristian).

19) Perkara pertama yang dilakukan ketika turun dari langit adalah menunaikan solat yang diimamkan oleh Imam Mahadi.

20) Nabi Isa mempunyai misi besarnya untuk menyelamatkan manusia daripada fitnah Dajjal serta kaum Yakjuj & Makjuj.