Hukum Mewarnakan Rambut dalam Islam
“Haram bagi lelaki dan perempuan mewarnakan janggut dan rambut dengan warna hitam. Namun, sunat mewarnakan uban dan rambut dengan warna yang lain sama ada kuning atau merah.
Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA, katanya: Abu Quhafah (bapa kepada Abu Bakar, nama sebenarnya Uthman dan memeluk Islam semasa pembukaan Makkah) yang rambutnya putih bak bunga kemboja (الثغامة), dibawa menemui Rasulullah SAW pada hari penawanan kota Makkah, lalu Baginda bersabda:
غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ
Maksudnya: “Ubahlah warna uban rambutnya ini dengan sesuatu dan elakkanlah dari warna hitam.”
Riwayat Muslim (2102)
Dan hadith daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
غَيِّرُوا الشَّيْبَ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ
Maksudnya: “Ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang Yahudi.”
Riwayat al-Tirmizi (1752)
Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ، فَخَالِفُوهُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru, hendaklah kamu berlainan daripada mereka.”
Riwayat al-Bukhari (5559) dan Muslim (2103)
Kami berpendapat bahawa sekiranya seseorang ingin mewarnakan rambut, hendaklah dia mewarnakan rambut atau uban dengan warna apa pun selain warna hitam, atau warna dan gaya yang menyerupai syiar agama lain. Ini bagi meraikan mazhab al-Syafie yang merupakan mazhab yang diamalkan di Malaysia.
Namun begitu, kami tidak mengingkari pendapat-pendapat lain yang memakruhkan bahkan mengharuskan pewarna hitam, khususnya jika tidak melibatkan penipuan. Adapun kerisauan penanya tentang persepsi pelajar sekolah yang mungkin mewujudkan suasana pelik, sepatutnya tidak berlaku keadaan fitnah dan pelik apabila telah diterangkan kepada para hukum sebenar mewarnakan rambut mengikut Syarak.
Namun jika pelajar-pelajar itu bersekolah menengah dan melibatkan jantina lelaki, maka wajiblah penanya berkenaan untuk menutup rambutnya kerana hukumnya adalah aurat dan perhiasan yang perlu ditutup.
Wallahuha’lam.
0 KOmen: