Pinggan Mangkuk Jenama Corningware Vintage Ini bernilai (RM24,000)
"TIDAK sangka mangkuk yang saya gunakan untuk letak lauk hidangan itu sangat bernilai," kata Hazwani Mohd Noor, 32.
Terdahulu, Hazwani berkongsi di laman Facebooknya mengenai harga pasaran pinggan mangkuk antik berjenama Corningware Vintage di portal jualan atas talian yang mencecah AS$6,000 (RM24,000).
Difahamkan, harga set pinggan mangkuk berkenaan melonjak naik selepas mendapat permintaan tinggi pengumpul barangan antik dari luar negara terutamanya Amerika Syarikat.
Menurut Hazwani, dia tidak sangka harga jualan semula atau terkini set pinggan mangkuk tahun 1990-an sangat tinggi nilainya.
"Mulanya saya tidak percaya. Jadi, saya lihat harga di e-Bay dan Lazada, memang betul itu harganya RM24,000.
"Saya terkejut, terus geledah rak pinggan mangkuk dan menjumpai persis pinggan mangkuk sama milik ibu. Tidak sangka mangkuk yang saya gunakan untuk letak lauk hidangan itu sangat bernilai," katanya ketika dihubungi.
Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata itu mengakui tidak menyangka perkongsiannya di Facebook tular sehingga sekarang.
"Saya ikut gembira apabila ramai rakan di Facebook turut berkongsi gambar reka bentuk mangkuk yang sama di ruangan komen. Rata-rata mereka tidak menyangka mangkuk kegunaan harian itu bernilai ribuan ringgit.
"Nilai harga jual balik yang lumayan menyebabkan ada pengguna Facebook yang komen nak 'culik' koleksi pinggan mangkuk ibu mereka untuk dijual," katanya.
Sementara itu, pengguna akaun Facebook bernama Ahmad Hafiy yang berkongsi di ruangan komen berkata, koleksi pinggan mangkuk berkenaan sudah berusia lebih 40 tahun dan dia tidak akan menjualnya kerana mahu menjadikannya sebagai harta pusaka.
Dalam perkembangan sama, Hazwani yang juga pengumpul tegar koleksi pinggan mangkuk seramik berkata, keluaran set pinggan mangkuk zaman dahulu berbeza dengan sekarang terutamanya daripada segi kualiti.
"Dahulu, kilang menghasilkan pinggan mangkuk menggunakan kaca seramik asli iaitu 'Pyroceram' yang tahan haba dan boleh terus digunakan dalam ketuhar.
"Kini, kebanyakan kilang berhenti menghasilkannya disebabkan permintaan tinggi tetapi kekurangan sumber. Ada pun ketahanannya tidak sama seperti dulu," katanya.
Sumber : harianmetro
0 KOmen: