Anak Bertanya Dimana Allah? Apakah Jawapannya?

5/05/2020 04:04:00 PTG Fara Lumière 0 Comments

ANAK BERTANYA DI MANA ALLAH?
BAGAIMANA IBUBAPA MAHU JAWAB?


Antara nafkah yang wajib ke atas seorang wali bagi anak-anaknya adalah mengajarkan ilmu agama. Sebaik-baik ilmu agama ialah ilmu aqidah.

Pertanyaan "Di mana Allah?" merupakan antara pertanyaan daripada anak kecil yang kadangkala terbit kerana keinginannya untuk mencambahkan pengetahuannya tentang Tuhan sekalian alam.

Maka, selari dengan disiplin dalam menimba ilmu agama, apa-apa perkara yang berkait dengan perihal agama haruslah disandarkan ataupun dirujuk kepada mereka yang arif dalam hal agama seperti Ulama agar hal yang ingin disampaikan itu bertepatan dengan pegangan agama.

Sheikh Zainul ^Abidin atau lebih dikenali dengan nama Tuan Minal Al-Fathoni telah menjelaskan dalam kitabnya Irsyadul ^Ibad jawapan bagi pertanyaan "Di mana Allah?".
Kata Tuan Minal:
"Maka jika berkata bagi engkau oleh yang berkata: Di mana Allah Taala? Maka jawabnya tiada ia pada tempat"

Maka, jawapan bagi pertanyaan "Di mana Allah?" ialah Allah tidak bertempat. Inilah jawapan yang harus diberikan oleh para ibubapa kepada anak-anak mereka.

Usah pula diberi jawapan yang terpesong daripada aqidah umat Islam seperti "Allah di langit" atau "Allah di mana-mana" atau "Allah di dalam Kaabah" atau "Allah di dalam masjid".

Terangkan kepada anak-anak bahawasanya Allah menciptakan bumi, langit, laut, udara dan sekalian tempat. Allah telah ada sebelum segala sesuatu ada. Maka Dia tidak bertempat.

Jika anak masih tidak faham akan jawapan yang diberikan, tegaskan sahaja agar anak itu hafal akan jawapan tersebut dan tenteramkan dirinya dengan mengatakan suatu hari nanti dia akan faham apabila meningkat dewasa kelak.

Adapun jika ibu bapa mampu memberikan contoh untuk mendekatkan kefahaman si anak maka boleh disoalkan kepada anak tersebut soalan "Bilakah pintu makan nasi?". Maka sudah pasti tidak boleh diberi jawapan sama ada "pintu makan pada waktu pagi" atau "waktu petang" atau "waktu malam".

Jelaskan kepada anak sepertimana soalan tentang pintu tidak boleh dijawab dengan pilihan jawapan seperti di atas kerana "makan" bukan sifat bagi pintu, seperti itulah pertanyaan tentang tempat bagi Allah tidak boleh dijawab sama ada  "Allah di sini" atau "di sana" atau "di bumi" atau "di atas arasy" atau "di langit" atau di "mana-mana" kerana bertempat itu bukanlah sifat bagi Allah.

Ibu bapa harus tahu bahawasanya pertanyaan daripada anak tidak semestinya dijawab mengikut kerangka soalan yang diajukan kerana anak kecil kebiasaan pertanyaan mereka sebenarnya tidak 'valid'.

Contoh soalan tidak valid: Adakah batu pandai atau bodoh? Soalan sebegini tidak mampu kita jawab dengan "batu pandai" atau "batu bodoh" kerana hakikatnya batu bukanlah makhluk yang berakal atau mempunyai daya intelektual.

Asas aqidah beriman kepada Allah adalah beriman bahawasanya Allah mencipta segala sesuatu, Dia tidak sama dengan ciptaanNya.

- Allah cipta langit sebagai tempat bagi malaikat. Maka Allah bukan di langit
- Allah cipta bumi sebagai tempat bagi manusia, haiwan dan tumbuhan. Maka Allah bukan di bumi
- Allah cipta udara di mana-mana. Maka Allah bukan di mana-mana.
- Allah mencipta arasy tetapi Dia bukan duduk di atasnya. Yang tepat ialah Allah menguasai arasy, bukan duduk di atas arasy.

Allah telah ada tanpa permulaan sebelum segala sesuatu ada.

Sayyiduna Ali ibn Abi Talib telah mengatakan:
"Sesungguhnya Allah menciptakan arasy untuk menzahirkan kekuasaanNya, bukan mengambilnya sebagai tempat bagi Zatnya"

Pengetahuan Allah meliputi sesuatu. Allah Maha mengetahui segala perkara di alam ini tetapi tidak boleh kita mengatakan Allah di mana-mana.

Maka, jawapan yang tuntas bagi pertanyaan "Di mana Allah?" ialah Allah tidak bertempat.

Waspadalah daripada fahaman yang mengatakan Allah di langit atau di atas arasy. Fahaman ini bercanggah dengan pegangan sekalian umat Islam. Mengatakan Allah bertempat dan berjisim bukan aqidah Rasulullah.

Kredit : Yunan A Samad

You Might Also Like

0 KOmen: