Punca Letupan Beirut disebabkan Ammonium Nitrate

Sayu hati kami bila mendengar berita tentang letupan di Beirut, Lubnan yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 78 mangsa dan mencederakan ribuan yang lain.



PM Hassan Diab menyatakan ia berpunca daripada 2,700 Tan ammonium nitrate yang disimpan berdekatan dengan pelabuhan bandar tersebut. Video menunjukkan terdapat api yang marak disusuli dengan letupan seperti bom atom yang membentuk awan mushroom.

Apa itu ammonium nitrat?

Ammonium nitrat atau formulanya NH₄NO₃, dihasilkan dalam bentuk butir adalah baja paling banyak digunakan dunia.

Ianya juga bahan utama di dalam proses letupan untuk menggali mineral yang mana bahan ini dicampur dengan minyak dan dihidupkan dengan cas letupan.

Untuk industri ammonium nitrat menjadi satu letupan yang bahaya, ianya perlu melalui proses yang panjang dan banyak masalah perlu berlaku. Dan ini berlaku di Beirut.

Apa punca letupan itu?

Ammonium nitrat tidak akan terbakar dengan sendiri. Malah, ianya lebih adalah sumber oksigen yang akan mempercepatkan proses pembakaran bahan lain. Sebab itu, ianya sangat berfungsi di dalam perlombongan di mana kawasan yang kurang oksigen, dengan adanya Ammonium nitrate akan menghasilkan oksigen untuk proses pembakaran minyak dan bahan bakar lain.

Namun di suhu yang sangat tinggi, ammonium nitrat akan terurai dan menjadi nitrogen oksida dan wap air. Dan Gas inilah yang akan menyebabkan letupan.

Jadi kalau ada api marak berdekatan dengan bahan ini, ianya boleh menyebabkan letupan seperti yang juga berlaku di Tianjin China pada tahun 2015 yang telah mengorbankan 175 orang di sebuah kilang Ammonium nitrat.

Walaupun kita tidak tahu punca sebenar di Beirut, tetapi kita dapat lihat melalui video, letupan itu berlaku setelah beberapa ketika kebakaran berlaku.

Memang sukar sebenarnya Ammonium nitrat meletup disebabkan kebakaran. Kebakaran perlu berlaku dan kekal lama di tempat Ammonium nitrat disimpan.

Malah ianya tidak akan meletup dengan sendiri tanpa minyak melainkan ianya telah ada pencemaran silang akibat daripada penyimpanan stok yang tidak betul.

Ini dapat dibuktikan dengan amaran yang telah diberikan kepada pengilang 2700 Tan yang telah disimpan selama 6 tahun tanpa keselamatan yang baik.

Kesan kepada kesihatan?

Letupan ammonium nitrat akan menghasilkan nitrogen dioksida, gas berwarna merah dan baunya sangat busuk.

Gas ini selalunya berada di persekitaran yang tercemar dan selalu digunakan sebagai aras kualiti udara sesuatu kawasan/bandar.

Ianya dikhuatiri boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti masalah paru-paru. Keadaan ini mungkin akan ada di sana selama beberapa hari.

Keadaan di Beirut mengajar kita untuk menyimpan baja dalam keadaan yang betul. Mari kita doakan semoga Beirut kembali pulih daripada musibah yang telah melanda.

Sumber : public health Malaysia

Kisah Ringkas Nabi Isa ‘Alaihissalam



Nabi Isa ‘Alaihissalam

1) Di dalam Al-Quran, baginda digelar Isa ibni Maryam. Jesus Christ atau Jesus dari Nazareth adalah nama umum bagi orang Kristian.

2) Keturunan Nabi Isa bermula dari kelahiran Maryam iaitu anak perempuan Imran (boleh rujuk Kisah Nabi Zakaria & Yahya sebelum ini). (Surah Ali Imran: 45)

3) Di dalam Al Quran dan juga Injil, ada menyatakan bahawa Jibril menemui Maryam dan memberitahu bahawa Maryam akan melahirkan seorang bayi yang istimewa walaupun Maryam masih dara.

4) Nabi Isa dilahirkan dibawah pokok Kurma di daerah berhampiran Baitulmaqdis, Palestin.

5) Semasa kecil Nabi Isa memiliki mukjizat iaitu mampu bercakap. Nabi Isa ketika itu berpidato dengan mereka yang mengutuk ibu baginda.

6) Selain itu, Nabi Isa memiliki mukjizat setelah dewasa iaitu mampu menyembuhkan orang buta dan lumpuh.

7) Nabi Isa mempunyai 12 orang sahabat. Al-Quran menggelarkan Al-Hawariyun manakala Kirstian mengelarkan 12 diciples / appostle.

8) Mereka adalah;

1. Peter @ Petrus
2. James @ Yakobus
3. John @ Yohannes
4. Andrew @ Andreas
5. Philip
6. Barthomew
7. Matthew
8. Thomas
9. James
10. Thaddeus
11. Simon
12. Judas Iscariot

Nama tersebut masih samar, tiada fakta yang sahih. Injil sendiri masih berbalah mengenai individu Al Hawariyun. Al Quran ada menerangkan mengenai Al Hawariyun ini dalam Surah Al-Maaidah: 111-115

9) Apabila terlihat akan mukjizat Nabi Isa ini, ramai para pendeta pada zaman itu rasa terancam dan mula menabur fitnah ke atas Nabi Isa.

10) Fitnah dari pendeta itu sampai ke Maharaja Rome. Maharaja Rome menawarkan sejumlah harta yang banyak sehingga tertangkapnya Nabi Isa.

11) Ketika itu, Nabi Isa berdakwah secara rahsia dan para sahabat Al Hawariyun banyak membantu.

12) Oleh kerana tamak dan iri hati, salah seorang sahabat Nabi Isa, Judas Iscariot berpaling tadah.

13) Judas memberitahu tempat persembunyian Nabi Isa. Ketika dikejar oleh tentera Rome, Nabi Isa bersembunyi di Gua.

14) Ketika persembunyian di Gua tersebut, maka Allah telah mengangkat Nabi Isa ke langit. Hal ini berdasarkan kepada peristiwa Nabi Isa & Al-Hawariyun menjamah makanan terakhir (The Last Supper). Pada waktu itu, Nabi Isa ada menyebut bahawa salah seorang dari Al-Hawariyun akan mengkhianatinya.

15) Judas yang ketika itu bersiar di bandar, tiba-tiba Allah telah menukarkan rupa Judas kepada rupa Nabi Isa.

16) Para tentera Rome segera menangkap Judas dan dibawa untuk perbicaraan.

17) Hukuman yang diterima adalah disalib hidup-hidup kemudian diberi mahkota kawad berduri di kepala.

18) Nabi Isa ketika ini masih hidup, hanya Allah sahaja yang tahu dimana Nabi Isa ditempatkan. Keterangan hadis Nabi Muhammad ada meriwayatkan kisah ini. Ia turut diceritakan dalam The Second Coming (versi Kristian).

19) Perkara pertama yang dilakukan ketika turun dari langit adalah menunaikan solat yang diimamkan oleh Imam Mahadi.

20) Nabi Isa mempunyai misi besarnya untuk menyelamatkan manusia daripada fitnah Dajjal serta kaum Yakjuj & Makjuj.

Kisah Ringkas Nabi Yunus ‘Alaihissalam

Nabi Yunus ‘Alaihissalam

1) Nabi Yunus diberi gelaran Dhan-Nun yang bermaksud Peneman Ikan Nun. An-Nun bermaksud ikan besar iaitu ikan paus. Nabi Yunus telah diangkat sebagai nabi Allah dan Allah telah menghantar baginda kepada kaum Mosul di Iraq yang juga dikenali sebagai Ninawa.

2) Kaum Mosul terdiri daripada lebih 100 ribu orang. Nabi Yunus telah menyeru kepada kaum Mosul untuk menyembah Allah dan bukan selain dari-Nya. Berkali-kali nabi Yunus menyeru kepada kaumnya untuk beriman kepada Allah, namun seperti nabi-nabi sebelumnya, kaum nabi Yunus menolak ajaran Islam. Nabi Yunus memberi amaran kepada kaum Mosul untuk takut kepada hukuman Allah namun sama sahaja, mereka tetap menolak.

3) Nabi Yunus menjadi marah dan putus asa untuk berdakwah kepada kaum Mosul yang degil. Nabi Yunus membuat keputusan untuk pergi jauh dari Mosul untuk berdakwah kepada kaum lain. Baginda percaya ada lebih banyak kaum lain yang boleh dibimbing ke jalan Allah. Maka nabi Yunus memulakan perjalanannya ke tepi laut untuk menyeberangi lautan untuk pergi ke negara lain.

4) Sementara itu, semasa nabi Yunus dalam perjalanan ke tepi laut, Allah datangkan azab-Nya kepada kaum Mosul. Langit yang cerah menjadi gelap gelita dan sangat menggerunkan. Seluruh kaum Mosul seramai 100 ribu lebih orang itu semua sekali melihat ke langit dan mereka mula menangis ketakutan. Mereka tahu azab Allah sedang datang kepada mereka dan mereka teringat kisah kaum Luth, tentang bagaimana Allah telah menghukum mereka. Dan mereka teringat amaran-amaran yang seringkali disebut oleh nabi Yunus tentang hukuman Allah. Seluruh kaum Mosul pun tersedar apa yang patut mereka lakukan iaitu bertaubat kepada Allah. Mereka bertaubat seikhlas hati dan semuanya menangis, baik lelaki, wanita serta kanak-kanak. Nabi Yunus satu-satunya nabi di mana seluruh kaumnya bertaubat dan beriman kepada Allah. Maka Allah tarik balik azab-Nya kerana tiada seorang pun di antara mereka yang tidak bertaubat kepada Allah - Rujuk al Quran (10:98).

5) Nabi Yunus tidak tahu apa yang telah berlaku kepada kaumnya semasa dalam perjalanannya. Sampai di tebing laut, terdapat sebuah kapal yang sarat. Nabi Yunus lompat masuk ke dalam kapal tersebut dan kapal itu pun memulakan perjalanan - Rujuk al Quran (37:140). Tiba-tiba angin mula bertiup kencang dan ribut mula datang. Kapal sarat itu mula bergoncang dan dimasuki air. Mereka mula tenggelam sedikit demi sedikit. Orang-orang di dalam kapal cuba untuk mengurangkan muatan lebihan dengan mencampak keluar semua barangan di dalam kapal namun kapal semakin tenggelam.

6) Mereka terpaksa mengurangkan bilangan orang di dalam kapal. Untuk adil, mereka mencabut nama dan nama yang keluar mestilah terjun dari kapal. Apabila nama dicabut, nabi Yunus yang keluar. Mereka melihat rupa nabi Yunus kelihatan seperti seorang yang alim, berpengetahuan luas dan masih muda, tidak ramai orang muda seperti ini. Satu pembaziran jika dibiarkan mati. Maka mereka memutuskan untuk membatalkan cabutan tadi dan cabut lagi sekali. Kali kedua, nama nabi Yunus yang keluar. Kali ketiga, juga nama nabi Yunus yang keluar. Nabi Yunus sedar bahawa ini bukanlah kebetulan, namun ketentuan Allah - Rujuk al Quran (37:141). Maka nabi Yunus pun terjun ke dalam laut.

7) Sebaik sahaja nabi Yunus masuk ke dalam laut, Allah memerintahkan ikan nun untuk menelannya - Rujuk al Quran (37:142). Dalam proses ditelan itu, nabi Yunus pengsan. Allah berfirman, “Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih); tentu dia akan tinggal di dalam perut ikan itu sehingga hari manusia dibangkitkan dari kubur.” - Rujuk al Quran (37:143-144).

8 ) Ikan nun tersebut berenang ke dasar laut yang gelap. Nabi Yunus tersedar dari pengsan apabila terdengar bunyi-bunyian di dalam laut. Dia bertanya kepada Allah bunyi apa yang sedang didengarnya dan Allah menjawab bahawa itulah bunyi tasbih batu-batu dan ikan-ikan di dalam laut. Nabi Yunus bersujud kepada Allah dalam keadaan bertaubat dan berkata, “Aku bersujud daam kegelapan-kegelapan ini (kegelapan di dalam perut ikan, kegelapan dasar laut dan kegelapan malam). Sesungguhnya tiada Tuhan yang dapat menolong melainkan Engkau ya Allah! Maha suci Engkau, tolonglah daku! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” - Rujuk al Quran (21:87).

9) Nabi Yunus hidup di dalam perut ikan nun selama 40 hari (ada yang mengatakan sekurang-kurangnya 3 hari, wallahualam). Selama 40 hari nabi Yunus bertasbih dan berdoa kepada Allah sehingga baginda menjadi semakin lemah. Akhirnya Allah memperkenankan doanya. Ikan nun tersebut memuntahkan nabi Yunus di tepi pantai dan nabi Yunus keluar dalam keadaan sakit - Rujuk al Quran (37:145). Dikatakan badannya lembik dan kulitnya dipenuhi ruam. Kemudian Allah menumbuhkan sebuah pohon melingkar di sebelah tempat nabi Yunus terbaring - Rujuk al Quran (37:146). Nabi Yunus dapat makanan dari tumbuhan itu dan bila daunnya yang lebar menyentuh kulit nabi Yunus, ia terasa sangat lembut dan nyaman. Ia juga menjadi tempat berteduh sementara nabi Yunus menyembuhkan diri.

10) Apabila nabi Yunus telah sembuh, baginda pulang ke Mosul dan terkejut melihat seluruh kaumnya sudah beriman kepada Allah. Allah kurniakan kepada mereka kebahagiaan buat sesuatu masa - Rujuk al Quran (37:148).








Kisah Ringkas Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam

Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam

1) Nabi Sulaiman merupakan anak kepada nabi Daud. Nabi Sulaiman mewarisi takhta dan kenabian daripada bapanya.

2) Ketika zaman nabi Sulaiman, ada emoat orang raja yang menguasai dunia. Dua orang raja Islam iaitu nabi Sulaiman dan Iskandar Zulqarnain manakala dua orang raja lagi bukan Islam iaitu Bakht Nasr dan Namrud. Di antara emoat orang raja agung ini, nabi Sulaiman merupakan raja yang paling berkuasa.

3) Mengapa nabi Sulaiman yang paling hebat? Kerana Allah telah menurunkan mukjizat dan ilmu kepada nabi Sulaiman yang tidak tertanding dengan raja-raja lain. Pertama, baginda boleh mengawal angin; walau dari jarak sebulan jauh. Maksudnya baginda boleh mengawal pergerakan angin sebulan sebelum angin itu sampai kepadanya sehinggalah sebulan selepas ia melepasinya. Kedua, baginda boleh mengawal tembaga. Tembaga boleh menjadi cair dan mengalir mengikut arahannya dan mengeras semula dalam bentuk yang dikehendakinya. Ketiga, baginda boleh mengawal jin. Golongan jin amat takut dengan nabi Sulaiman; jin yang ingkar arahan nabi Sulaiman akan dikenakan hukuman. Keempat, Allah mengurniakan nabi Sulaiman ilmu bahasa burung dan bahasa haiwan lain. Baginda boleh bercakap dan faham bahasa haiwan. Dan kelima, angkatan tenteranya sangat besar dan terdiri daripada manusia, jin dan burung.

4) Walaupun dikurniakan dengan pelbagai mukjizat, nabi Sulaiman tidak pernah bongkak. Baginda sentiasa bersyukur kepada Allah.

5) Ada suatu ketika, nabi Sulaiman dgn bala tenteranya sedang berarak dalam perjalan untuk pergi berperang dan mereka melalui sebuah lembah yang dipenuhi dengan semut. Dari jauh, seekor semut ternampak bala tentera nabi Sulaiman sedang menuju ke kawasan tempat tinggal semut lalu semut itu pun memanggil semut-semut yang lain, “Semut-semut semua! Cepat sembunyi di dalam tanah! Sebelum nabi Sulaiman dan tenteranya terpijak kamu semua tanpa sengaja!” Nabi Sulaiman terdengar kata-kata semut tersebut dan baginda pun terhibur.

6) Pada suatu hari, sedang nabi Sulaiman memeriksa barisan tenteranya, baginda tersedar bahawa tidak cukup seekor burung. Burung yang hilang itu ialah seekor burung hud-hud. Nabi Sulaiman jadi marah. Nabi Sulaiman berkata, “Di manakah Hud-hud? Aku akan menghukumnya atas kelewatannya kecuali jika ia mempunyai alasan yang kukuh!” Tidak lama selepas itu burung hud-hud tersebut sampai dan berkata, “Wahai Sulaiman! Aku mengetahui sesuatu yang engkau tidak tahu.” Nabi Sulaiman pun berkata, “Siapa yang berani berdiri di hadapan rajanya dan berkata dia lebih mengetahui akan sesuatu dari rajanya?! Aku sembelih kau nanti!” Nabi Sulaiman merupakan raja yang garang, oleh itu baginda mampu mendisiplinkan jutaan tenteranya. Kemudian burung hud-hud bercerita, “Aku telah terbang ke negeri Saba (Sheba, Yemen). Pemimpin mereka seorang perempuan dan dia memiliki segalanya! Dia memiliki kuasa, harta, tentera, kerajaan, segala-galanya! Dia mempunyai takhta yang cantik lagi hebat!” Burung hud-hud pun menyambung puji-pujian mengagungkan kerajaan Puteri Balqis. Kemudian burung itu menjadi kecewa dan mengatakan, “Aku melihat puteri itu dan seluruh kerajaannya bersujud keada matahari. Syaitan telah menyesatkan mereka. Nampaknya mereka merasakan perbuatan mereka itu betul.” Dan akir sekali burung hud-hud berkata, “Allah, tiada lain yang selayaknya disembah melainkan Allah, raja kepada segala raja.”

7) Nabi Sulaiman berkata kepada Hud-hud, “Baiklah, kita akan lihat jika kau berkata benar atau menipu.” Kemudian nabi Sulaiman pun menulis sepucuk surat kepada Puteri Balqis. Burung hud-hud membawa surat itu terbang ke negeri Saba dan jatuhkan surat itu di atas riba Puteri Balqis. Puteri Balqis memanggil pembesar negerinya untuk membacakan surat itu dan dapatkan nasihat tentang apa yang patut dilakukan. “Wahai pembesar sekalian, beta telah menerima surat dari Raja Sulaiman. Isinya ringkas, dengarkan: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Janganlah engkau sombong dan berserah diri lah kepadaku.” Puteri Balqis bertanya kepada para pembesar, “Apakah yang patut aku lakukan?” Para pembesar dengan lajunya mencadangkan untuk berperang. Puteri Balqis seorang wanita yang bijak. Dia tahu peperangan bukanlah jalan yang bijak kerana setiap kali berlakunya perang, rumah-rumah akan musnah dan ramai yang akan mati. Tentera raja Sulaiman pula sangat besar dan hebat berbanding tentaranya. Puteri Balqis mempunyai idea. Dia menghantarkan kepada nabi Sulaiman hadiah-hadiah dari kerajaan Saba. Tindakan Puteri Balqis ini menunjukkan kebijaksanaannya kerana jika Raja Sulaiman itu bukan nabi, sudah tentu baginda akan menerima rasuah Puteri Balqis. Namun apabila nabi Sulaiman mendapat hadiah yang serba mewah daripada Puteri Balqis, baginda menghantar semula hadiah tersebut dengan pesanan, “Jika kau fikir kau boleh merasuahku dengan kemewahan, kau salah. Tiada siapa boleh membeli agamaku. Aku akan datang kepadamu dengan bala tentera yang tidak pernah kau lihat seumur hidupmu.”

8 ) Apabila pesanan itu sampai kepada Puteri Balqis, dia berfikir lagi. Tidak mungkin dia akan membiarkan peperangan berlaku kerana kerajaan Puteri Balqis semestinya akan kalah, oleh itu dia mahu elakkan pertumpahan darah dan menyerah kalah secara baik. Puteri Balqis mengumumkan bahawa dia akan berangkat untuk berjumpa Raja Sulaiman bersama tenteranya.

9 ) Berita itu sampai kepada nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman ingin menunjukkan kepada Puteri Balqis bahawa kerajaannya bukan biasa-biasa, ia adalah simbol kekuasaan Allah. Jadi nabi Sulaiman mengumpulkan tenteranya yang terdiri daripada manusia, jin dan haiwan. Nabi Sulaiman berkata, “Sebelum Puteri Balqis tiba untuk menyerah diri, aku mahu kerusi takhtanya yang menjadi kebanggaan kerajaan Saba untuk dibawa ke sini.” Jin Ifrit merupakan jin yang paling tinggi kedudukannya dalam kalangan jin dan dia telah menawarkan dirinya untuk bawakan takhta Puteri Balqis tersebut. Jin Ifrit berkata, “Aku boleh bawakan takhta itu ke sini sebelum kau sempat bangun dari tempat dudukmu, Sulaiman. Aku sangat kuat dan kau boleh percayakan aku atas tugasan sebegini.” Namun nabi Sulaiman tidak memilih Ifrit, baginda mempunyai calon yang lebih sesuai untuk tugasan itu. Calon tersebut itu jin atau manusia, wallahua’alam. Dia dikenali sebagai The One with Knowledge of the Book - sesuatu/seseorang yang mempunyai ilmu kitab. Dia janji dengan nabi Sulaiman, “Aku boleh bawakan takhta itu dalam sekelip mata.” Nabi Sulaiman tidak sempat berkelip pun matanya, takhta itu muncul di hadapannya. Kemudian nabi Sulaiman mengarahkan untuk melakukan penyamaran terhadap takhta itu untuk melihat Puteri Balqis dapat mengenali atau tidak bahawa itu takhtanya.

10 ) Apabila Puteri Balqis sampai di istana nabi Sulaiman, nabi Sulaiman sengaja bertanya, “Adakah ini takhtamu?” Puteri Balqis keliru sebentar. Dia merasakan takhta itu seperti miliknya namun dia tidak membawanya bersama tadi. Apabila Puteri Balqis menyedari bahawa itu memang takhtanya, dia jadi terpegun dengan kehebatan nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman pun berkata, “Inilah tanda kekuasaan Allah, Tuhan sekalian Alam.”

11 ) Nabi Sulaiman mempunyai banyak istana hebat yang dibina oleh jin. Salah satunya ialah sebuah istana kaca yang dibina di atas sungai yang mengalir. Nabi Sulaiman membawa Puteri Balqis ke istana kaca yang serba indah itu. Apabila Puteri Balqis masuk ke dalam istana itu, dia nampak air mengalir di bawahnya lalu dia cepat-cepat meninggikan kainnya kerana takut basah. Selepas itu dia sedar bahawa kakinya tidak akan basah kerana rupanya dia sedang memijak lantai kaca! Puteri Balqis sangat kagum dengan kehebatan Allah, lalu dia pun berkata, “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menindas diriku sendiri dengan menyembah selain dari-Mu.” Puteri Balqis terus beriman kepada Allah dan tidak lama selepas itu dia berkahwin dengan nabi Sulaiman.

12 ) Pada satu ketika, ketika nabi Sulaiman sudah tua, baginda telah mengarahkan jin-jin untuk membina istana besar. Setiap kali jin terlihat kelibat nabi Sulaiman, mereka akan berlari melakukan kerja dan tidak berani untuk memandang muka nabi Sulaiman. Pada satu hari, nabi Sulaiman datang memeriksa jin-jin yang sedang membina istananya. Baginda berdiri sambil meletakkan tangan pada tongkatnya dan memerhati jin-jin tersebut melakukan pekerjaaan. Jin tersebut menjadi takut dan bekerja tanpa henti, tanpa rehat selama setahun. Sehingga anai-anai datang dan memakan tongkat nabi Sulaiman dan akhirnya tongkat itu patah, dan nabi Sulaiman pun jatuh ke tanah. Rupanya nabi Sulaiman telah wafat selama setahun dalam keadaan berdiri dan matanya terbuka seakan2 sedang memerhati jin-jin bekerja. Selepas menyedari akan keadaan itu, barulah mereka berhenti bekerja. Begitulah berakhirnya riwayat hidup nabi Sulaiman.

Kisah Ringkas Nabi Zulkifli ‘Alaihissalam

Nabi Zulkifli ‘Alaihissalam

1) Nabi Zulkifli merupakan anak kepada nabi Ayub dan Rahma. Nama sebenarnya ialah Basyar dan baginda digelar Zulkifli yang bermaksud ‘bertanggungjawab’ kerana sifatnya. Nabi Zulkifli merupakan seorang yang sangat bertaqwa kepada Allah dan sering beribadat.

2) Nabi Zulkifli berasal dari Damaskus, Sham (Syria) dan hidup pada zaman pemerintahan seorang raja yang sangat alim. Raja tersebut amat disayangi rakyatnya. Ketika nabi Zulkifli masih muda, raja alim tersebut sudah sangat tua dan baginda tidak mempunyai waris. Pada satu hari, raja itu mengumpulkan rakyatnya untuk membuat pengumuman. Raja itu berkata, “Aku sudah tua, tidak lama lagi aku akan pergi. Dan aku tidak mempunyai waris untuk menurunkan takhta ku. Jadi aku akan pilih di antara kamu untuk menggantikan aku sebagai raja.”

3) Raja tersebut menetapkan syarat kepada sesiapa yang ingin mewarisi takhtanya. Syaratnya: orang itu perlu memiliki sifat yang sangat sabar, sanggup berpuasa di siang hari dan beribadah di waktu malam.

4) Sang raja meminta sesiapa yang sanggup menjalani hari-harinya sebegitu untuk mengangkat tangan. Diantara rakyat jelata yang datang berkumpul, tidak ada seorang pun yang mengangkat tangan kerana mereka merasakan syarat yang ditetapkan terlalu berat. Tiba-tiba seorang anak muda mengangkat tangan iaitu nabi Zulkifli, anak kepada nabi Ayub. Kemudian dengan suara yang lantang, nabi Zulkifli berkata, “Hamba sanggup berpuasa di siang hari dan beribadah sepanjang malam.” Raja itu melihat pemuda itu dan berkata, “Wahai anak muda, kamu jangan permainkan kata-kataku. Perkara ini penting untuk menentukan masa hadapan rakyat dan negeri ini.” Dengan tenang, nabi Zulkifli pergi ke hadapan sang raja dan berkata, “Wahai raja junjungan hamba, hamba bukan main-main. Hamba akan melakukan syarat-syarat tersebut.” Raja tadi mengulangi syaratnya sebanyak 3 kali dan pemuda yang sama berjanji akan mematuhi syarat-syarat tersebut. Sang raja pun bersetuju untuk mengambil nabi Zulkifli sebagai penggantinya.

5) Tidak lama kemudian, raja tua itu pun wafat dan seluruh rakyat bersedih. Nabi Zulkifli diangkat menjadi raja dan menjalani kehidupannya di dalam istana dengan penuh kesabaran, keimanan dan ketaatan beribadah kepada Allah seperti yang disyaratkan kepadanya. Nabi Zulkifli berpuasa di siang hari sambil menguruskan pentadbiran negerinya dan waktu malamnya dihabiskan dengan beribadah kepada Allah sehingga tinggal hanya sedikit masa untuk tidur. Negerinya aman damai dan nabi Zulkifli disenangi rakyatnya kerana sifatnya yang tenang dan sabar.

6) Pada suatu malam, iblis menyamar sebagai seorang lelaki tua dan telah datang ke istana untuk berbuat onar. Dia mengadu bahawa dia mempunyai masalah di salah satu wilayah di bawah naungan negeri nabi Zulkifli. Dia sengaja berbuat kecoh, tidak mahu berjumpa dengan penasihat raja dan hanya mahu berjumpa dengan raja secara langsung. Ketika itu nabi Zulkifli sedang tidur. Nabi Zulkifli pun berjumpa dengan orang tua itu dan mendengar aduannya. Nabi Zulkifli berkata kepada orang tua itu untuk datang kembali keesokan malamnya, supaya nabi Zulkifli dapat menyelesaikan isu tersebut pada siang hari. Keesokannya, orang tua tersebut berdegil tidak mahu datang oada waktu malam dan datang pada waktu siang hari malah berbuat kecoh pada si raja. Nabi Zulkifli dengan tenang meminta orang tua itu untuk berjumpanya pada waktu malam setelah isu yang diadukan dapat diselesaikan. Namun pada malam itu dia tidak datang. Masuk hari ketiga, orang tua itu datang lagi untuk berbuat kecoh. Kali ini dia tidak dapat melepasi pengawal istana maka dia berubah ke bentuk asalnya dan menyelinap masuk menembusi pintu2 istana dan berdepan dengan raja Zulkifli. Raja Zulkifli terkejut melihat rupa asal orang tua tadi yang rupa-rupanya adalah Iblis. Iblis sebenarnya sedang berusaha untuk membangkitkan kemarahan nabi Zulkifli. Nabi Zulkifli berjaya menahan kesabarannya seperti janjinya kepada raja sebelumnya.

7) Ada suatu ketika, Allah menurunkan ujian kepada nabi Zulkifli. Ada sekumpulan pemberontak yang telah melanggar perintah Allah dan melakukan kerosakan di negeri nabi Zulkifli. Untuk melawan kumpulan ini, satu-satunya cara adalah dengan berperang. Nabi Zulkifli memerintahkan rakyat dan tenteranya untuk ke medan perang. Namun mereka semua takut mati dalam peperangan. Mereka akan menuju ke medan perang juka nabi Zulkifli dapat menjamin bahawa mereka tidak akan mati. Nabi Zulkifli sangat sabar dan tidak marah dengan kedegilan rakyatnya. Kemudian nabi Zulkifli berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan mereka ketika dalam peperangan. Allah menurunkan wahyu kepada nabi Zulkifli, “Aku telah mengetahui apa permintaan mereka dan aku telah mendengar akan doamu, maka semua itu akan Aku kabulkan.” Akhirnya peperangan itu dimenangi oleh nabi Zulkifli dan pengikutnya. Tiada seorang pun pengikutnya yang gugur dalam peperangan.

8 ) Nabi Zulkifli wafat pada usia 95 tahun di Damaskus, Syria. Namanya disebut beberapa kali di dalam Al Quran. Allah berfirman, “Dan (ingatlah kisah) nabi Ismail, Idris dan Zulkifli. Mereka semua termasuk orang-orang yang sabar.” - Rujuk al Quran (21:85). “Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa’ dan Zulkifli. Semuanya termasuk orang-orang yang paling baik.” - Rujuk al Quran (38:48).


Kisah Ringkas Nabi Syu’aib ‘Alaihissalam

Nabi Syu’aib ‘alaihissalam tinggal di kota Madyan yang letaknya di Yordania sekarang. Ketika itu, masyarakatnya kafir kepada Allah dan melakukan berbagai kemaksiatan, seperti membajak dan merampas harta manusia yang melintasi mereka. Mereka juga menyembah pohon lebat yang disebut Aikah.

Nabi Shu’aib ‘Alaihissalam

1) Nabi Shuaib tinggal di kota Madyan, di mana penduduknya sangat bijak dalam perniagaan. Disebabkan mereka ahli perniagaan, mereka sentiasa berfikir cara untuk mendapatkan keuntungan tanpa memikirkan soal undang-undang. Korupsi sana sini.

2) Kaum Madyan juga dikenali dengan kepercayaan mereka yang menyembah sebuah pokok yang digelar Al-Ayka. Oleh kerana penyembahan pokok ini, nama lain bagi kaum Madyan ialah kaum Ayka.

3) Kaum Madyan ini suka menipu dalam perniagaan. Antara contoh penipuan yang biasa dilakukan adalah mereka menipu timbangan - contohnya mereka mengenakan harga 3 kilo gandum tetapi menipu dengan hanya memberi 2 kilo sahaja. Mereka mencampurkan air ke dalam susu supaya menjadi banyak kemudian dijual susu tersebut. Mereka mengenakan cukai kepada setiap orang yang lalu atau singgah di kota mereka. Mereka memaksa kaum nabi Shuaib untuk ‘bend the rules’ dan ikut peraturan mereka dan banyak lagi.

4) Nabi Shuaib berusaha mengajak kaum Madyan kembali ke jalan Allah. Nabi Shuaib berkata, “Sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi seseorang sesuatu yang menjadi haknya. Dan jangan lah membuat kerosakan di muka bumi kerana Allah telah menjadikannya sebaik-baiknya.” - Rujuk al Quran (7:85). Dan jangan lah kamu duduk di setiap jalan dan mengugut atau menghalang orang daripada beriman kepada Allah, dan kamu mahu mereka untuk membengkokkan peraturan Allah untuk mengikut peraturan kamu pula. Ingatlah semasa bilangan kamu sedikit, Allah telah menggandakan bilangan kamu sehingga menjadi ramai.” (7:86)

5) Selepas nabi Shuaib mengajak mereka untuk kembali ke jalan Allah, baginda pula diajak untuk menyertai mereka membuat pelaburan kerana mereka boleh menjadikan nabi Shuaib kaya. Baginda berkata kepada mereka, “Walaupun hartaku tidak sebanyak kekayaan kamu namun harta yang aku ada ini halal. Jika kamu fikir kamu boleh membeli aku dengan kekayaan, kamu salah. Tujuanku hanyalah untuk berbuat sebanyak mungkin kebaikan.”

6) Nabi Shuaib terus-terusan berdakwah namun kaum Madyan membenci dengan tawaran nabi Shuaib yang mengajak mereka untuk berniaga secara jujur dan menggunakan harta untuk kebaikan. Mereka merasakan nabi Shuaib ini bagaikan menjaga tepi kain orang. Mereka mahu menikmati harta kekayaan itu ke arah kemaksiatan dan mereka percaya bahawa agama dengan perniagaan tidak ada kaitan. Mereka berkata, rugilah sesiapa yang ikut nabi Shuaib - Rujuk al Quran (7:90).

7) Nabi Shuaib berpesan kepada kaum Madyan untuk takut kepada hukuman Allah dan mengingatkan mereka tentang apa yang terjadi kepada kaum Ad, kaum Thamud dan paling dekat dengan mereka ketika itu, kaum Luth. Nabi Shuaib juga mengingatkan kembali bagaimana Allah telah menghancurkan mereka. Nabi Shuaib berkata, “Bertaubatlah sebelum terlambat! Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih.” - Rujuk al Quran (11:90).

8 ) Kaum Madyan menjawab kepada nabi Shuaib, “Kami rasa kau sama sahaja seperti kami. Tidak kuat malah tiada yang istimewa pun. Kami tidak hormat pada kau. Jika bukan disebabkan keluarga dan pengikut kau, sudah lama kami rejam kau sehingga mati.” Nabi Shuaib mempunyai ramai pengikut. Jika mereka membunuh nabi Shuaib, pengikutnya akan memberontak dan perniagaan mereka akan lingkup. Kemudian mereka mencabar nabi Shuaib, “Jika kau benar nabi yang diutuskan Tuhan, minta sahaja Tuhan kau hukum kami!” Nabi Shuaib tidak boleh berbuat apa-apa kerana sama seperti kisah nabi-nabi sebelum ini, apabila sesebuah kaum itu mencabar kekuasaan Tuhan, maka sampai disitu sahaja. Oleh itu, nabi Shuaib pun berdoa, “Wahai Tuhan kami, hukumlah antara kami dan kaum kami dengan keadilan, kerana Engkau sebaik-baik Hakim.” - Rujuk al Quran (7:89).

9) Kemudian Allah menurunkan kemurkaan-Nya yang amat menyeksakan. Allah datangkan cuaca panas yang melemaskan. Kaum Madyan tidak dapat bernafas dalam kepanasan yang kurang udara itu. Mereka bagaikan mendidih akibat kepanasan yang amat sangat. Kemudian dalam kepanasan itu, Allah datangkan sebuah awan. Mereka berlari-lari ke bawah awan itu untuk berteduh namun mereka tidak tahu apa yang Allah akan turunkan daripada awan tersebut. Allah menurunkan bunyi Al-Saihah yang terlalu kuat seperti letupan sehingga menggoncang bumi di bawah awan tadi. Lalu matilah seluruh kaum Madyan dan jadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing. - Rujuk al Quran (11:94).

10) Sebelum itu, Allah telah menyelamatkan Nabi Shuaib dan pengikutnya. Apabila nabi Shuaib kembali ke Madyan dan melihat apa yang telah terjadi, baginda berkata, “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu).” - Rujuk al Quran (7:93).

11) Seperti kaum Ad, kaum Thamud dan kaum Luth, binasalah kaum Madyan akibat mencabar kemurkaan Allah. Betapa bijaknya kita rasa kita ini sehingga boleh memutar belit undang-undang namun ingatlah Allah itu jauh lebih bijaksana dan Allah sentiasa memerhati.