Hukum Memakai Eyelash Extension
Kecoh juga baru-baru ini tentang hukum eyelash extensions.
Sejujurnya, ia agak rumit untuk dibicarakan. Pun begitu, setelah beberapa waktu menggali sumber, meneliti dalil dari buku dan kitab serta pandangan asatizah, saya cuba kongsikan kesimpulan hukumnya.
Apa itu eyelash extensions?
Maksudnya ialah menyambung, menghubungkan bulu mata.
وَصَلَ الشَّيْءَ بالشَّيْءِ
Ia tak sama kaedah semacam memakai false eyelashes (sepasang bulu mata palsu yang dikepitkan pada bulu mata asal). Alah macam mak andam hiaskan pengantin tu.
Juga tak sama dengan kaedah lash lift. Iaitu mencantikkan bulu mata asli yang panjang tapi berterabur atau ke bawah. Kaedah lash lift akan melentikkan bulu naik ke atas.
Sedangkan eyelash extensions ini kaedah menyambung satu persatu bulu mata menggunakan sejenis gam. Memang rumit. Nak sambung bulu mata terkadang ambil masa 1 hingga 2 jam bergantung kepada kerumitannya.
Hasilnya bulu mata akan lebih panjang, lebih tebal dan lebih lentik dengan menggunakan metode extension. Tak perlu pakai maskara dan eyeliner lagi sebab bulu yang disambung sudah cukup hitam dan panjang.
Apa hukum memakai eyelash extension?
1. Haram menyambung bulu mata palsu samaada menggunakan bulu manusia, haiwan atau selainnya.
Dalil:
Daripada Ibnu Umar r.a, “bahawa Rasulullah SAW melaknat orang yang menyambung rambut dengan rambut orang lain, juga orang yang meminta supaya rambutnya disambungkan dengan rambut orang lain…”
[Riwayat Ahmad Bin Hanbal & Sunan al-Darimi]
2. Haram kerana ia juga termasuk dalam kategori penipuan yang keji. Tampak cantik seperti asli, tapi hakikatnya adalah palsu.
Dalil:
Sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang menipu, maka dia bukan dari kalangan kita.”
[Abu Abdullah Muhammad Bin Yazid al-Qazwaini, Sunan Majah]
3. Haram kerana menyebabkan terhalangnya air sampai ke serata tempat ketika berwudhuk.
Bulunya diperbuat dari nylon (bulu plastik) yang tak meresap. Ia juga menggunakan sejenis gam yang mengeras, dan ini punca utama air wudhuk tak sampai.
Selepas bulu mata itu dipasang, ia juga perlu dibiarkan kering dan tak boleh kena air berhari-hari.
Jadi disebabkan halangan ini, tidak sah wudhuk dan mandi hadas besar jika memakai eyelash extensions.
Dalil:
Terdapat hadis daripada Jabir r.a:
“Seorang lelaki mengambil wudhuk, lalu ia membiarkan di kakinya tempat sebesar kuku (tidak dibasahi air) dan dilihat oleh Nabi SAW. Maka baginda berkata kepadanya: “Kembali dan perelokkanlah wudhuk kamu”.
Maka ia pun kembali (ke tempat wudhuk untuk memperelokkan wudhuknya), kemudian ia mengerjakan solat” [Riwayat Imam Muslim]
4. Haram kerana membawa kemudharatan kepada seseorang yang menggunakannya.
Ia berdasarkan prinsip-prinsip Fiqh Islam yang menyatakan:
دَرْءُ المَفَاسِدِ أوْلَى مِنْ جَلْبِ المَصَالِحِ
“Menghindarkan kerosakan lebih baik daripada membawa kebaikan.”
Mudharatnya sebab sukar untuk berwudhuk, mandi hadas besar, terkumpulnya kekotoran dan memudharatkan pada kulit. Ini disebabkan bahagian bulu mata harus dielak dari terkena air.
Kesimpulannya, haram memakai bulu mata eyelash extensions.
0 KOmen: